Skip to main content

sitemap 1

call 2

faq 6

Taklimat Pengendali Makanan Bazar Ramadan 2025 Pasir Puteh

    Taklimat Pengendali Makanan Bazar Ramadan 2025 Pasir Puteh Berlangsung Meriah

    Pasir Puteh, 23 Februari 2025 – Taklimat Pengendali Makanan Bazar Ramadan 2025 bagi peniaga-peniaga di seluruh jajahan Pasir Puteh telah diadakan dengan jayanya di Dewan Utama, Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) pagi tadi. Program yang bermula pada jam 8.30 pagi ini bertujuan memberi pendedahan kepada para peniaga mengenai kepentingan kebersihan dan keselamatan makanan serta peraturan perniagaan di bazar Ramadan.

    Majlis telah dirasmikan oleh Tuan Haji Che Bisi Bin Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Pelesenan, Peniaga Kecil dan Pembangunan Usahawan MDPP. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan pematuhan kepada garis panduan kebersihan makanan serta tanggungjawab peniaga dalam memastikan makanan yang dijual adalah selamat untuk pengguna.

    Taklimat mengenai pengendalian makanan telah disampaikan oleh YBrs. Pegawai Kesihatan Daerah Pasir Puteh, manakala sesi taklimat berkenaan peraturan dan syarat-syarat perniagaan di Bazar Ramadan Pasir Puteh 2025 disampaikan oleh YBrs. Mohd Haqqul Mubin bin Hj. Othman, Ketua Bahagian Kesihatan dan Pelesenan MDPP. Kedua-dua sesi ini memberikan maklumat berguna kepada para peniaga dalam memastikan pematuhan kepada peraturan yang telah ditetapkan.

    Sebagai simbolik perasmian, majlis turut menyaksikan gimik pembahagian apron dan alas meja kepada para peserta. Inisiatif ini diharap dapat meningkatkan tahap kebersihan gerai serta memastikan makanan yang disediakan berada dalam keadaan yang bersih dan selamat.

    Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama semua peserta sebagai tanda kenangan. Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para peniaga, mencerminkan komitmen mereka terhadap pematuhan peraturan dan peningkatan kualiti perkhidmatan di bazar Ramadan tahun ini.