Lawatan Ilmu sambil belajar dari Majlis Daerah Pasir Puteh ke Majlis Perbandaran Pengerang, Johor.
LAWATAN ILMU SAMBIL BELAJAR MAJLIS DAERAH PASIR PUTEH KE MAJLIS PERBANDARAN PENGERANG, JOHOR
Pengerang, 25 April 2025 – Sebuah program Lawatan Ilmu sambil belajar telah dianjurkan oleh Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) ke Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), Johor pada hari Jumaat, 25 April 2025 bersamaan 26 Syawal 1446H. Program ini berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang dan telah mendapat penyertaan yang sangat menggalakkan daripada pelbagai lapisan pentadbiran daerah.
Lawatan ini melibatkan YABrs. Tuan Yang Dipertua MDPP, Ahli-ahli Majlis, Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Pasir Puteh, Setiausaha, Penolong Setiausaha dan Ketua-ketua Jabatan MDPP. Turut serta ialah wakil dari setiap jabatan di Jajahan Pasir Puteh, menunjukkan semangat kebersamaan dan kesungguhan dalam usaha memperkasakan tadbir urus serta menimba ilmu daripada pihak berkuasa tempatan yang lain.
Antara pengisian utama dalam lawatan ini adalah sesi lawatan ke Pengerang Integrated Complex (PIC), iaitu salah satu projek pembangunan bersepadu terbesar di Asia Tenggara yang diuruskan oleh PETRONAS. Lawatan ini memberi pendedahan secara langsung kepada peserta tentang operasi kompleks industri berskala besar dan pendekatan pengurusan moden yang diamalkan.
Program ini turut menjadi platform penting untuk bertukar pandangan, berkongsi amalan terbaik dan membina jaringan kerjasama antara kedua-dua pihak berkuasa tempatan. Ia sejajar dengan aspirasi untuk memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam di peringkat daerah serta meningkatkan profesionalisme dalam kalangan penjawat awam.
Majlis Daerah Pasir Puteh merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Majlis Perbandaran Pengerang atas kesudian menerima kunjungan ini serta segala kerjasama yang diberikan sepanjang program berlangsung.