OPERASI BERSEPADU PEMERIKSAAN PREMIS PENJUALAN VAPE DI JAJAHAN PASIR PUTEH
OPERASI BERSEPADU PEMERIKSAAN PREMIS PENJUALAN VAPE DI JAJAHAN PASIR PUTEH
PASIR PUTEH, 27 Julai 2026 – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh telah menganjurkan Operasi Bersepadu Pemeriksaan Premis Perniagaan pada 27 Julai 2026 (Isnin) bermula jam 2.00 petang hingga 5.00 petang di Jajahan Pasir Puteh.
Operasi tersebut melibatkan kerjasama antara IPD Pasir Puteh, Jabatan Penguatkuasaan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kekuatan seramai 27 anggota, terdiri daripada 8 anggota Jabatan Penguatkuasaan MDPP, 5 anggota Balai Polis Pasir Puteh dan 14 anggota KKM.
Operasi bersepadu ini dilaksanakan bertujuan memastikan pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa, di samping membanteras aktiviti perniagaan yang tidak mematuhi syarat ditetapkan serta melindungi kepentingan dan kesihatan awam.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati dua (2) buah premis perniagaan menjalankan aktiviti penjualan produk vape dan peralatan vape tanpa memiliki lesen perniagaan yang sah. Susulan itu, tindakan kompaun telah dikenakan terhadap pemilik premis, manakala peralatan vape yang dijual telah disita oleh Jabatan Penguatkuasaan MDPP sebagai tindakan penguatkuasaan.
Untuk makluman, Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) tidak mengeluarkan lesen perniagaan bagi aktiviti penjualan produk vape dan peralatan vape di seluruh kawasan pentadbiran Jajahan Pasir Puteh. Perkara ini adalah selaras dengan dasar Kerajaan Negeri Kelantan yang tidak membenarkan penjualan produk vape di negeri Kelantan.
MDPP memandang serius aktiviti penjualan vape yang dijalankan tanpa kebenaran dan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan dengan kerjasama agensi berkaitan bagi memastikan setiap premis perniagaan mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
Sejak kebelakangan ini, pihak berkuasa telah mengesan kes-kes penyalahgunaan peranti rokok elektronik atau vape sebagai medium untuk menyedut bahan terlarang dan dadah sintetik. Penyalahgunaan tersebut amat membimbangkan kerana peranti vape boleh dimanipulasi untuk memasukkan bahan berbahaya yang boleh memberi kesan serius terhadap kesihatan pengguna serta meningkatkan risiko ketagihan, khususnya dalam kalangan golongan muda.
Sehubungan itu, MDPP menyeru ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan, pergaulan serta aktiviti anak-anak bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan penggunaan vape. Didikan dan pemantauan berterusan amat penting dalam membentuk kesedaran anak-anak terhadap bahaya penggunaan vape dan penyalahgunaan bahan terlarang.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya menjaga kesihatan diri dan keluarga dengan menjauhi penggunaan vape serta mengamalkan gaya hidup sihat. Kerjasama masyarakat amat diperlukan dalam membantu pihak berkuasa membanteras aktiviti penjualan vape yang melanggar peraturan demi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan sihat.