GOTONG-ROYONG PERDANA “PASIR PUTEHKU BERSIH INDAH CERIA SEJAHTERA” SEMERAK, PASIR PUTEH
GOTONG-ROYONG PERDANA “PASIR PUTEHKU BERSIH INDAH CERIA SEJAHTERA” SEMERAK, PASIR PUTEH
Semerak, Pasir Puteh – 21 Jun 2026 – Program Gotong-royong Perdana “Pasir Putehku Bersih Indah Ceria Sejahtera” telah berjaya dilaksanakan bertempat di Jeti Pelancongan Tok Bali, Semerak, Pasir Puteh pada Ahad, 21 Jun 2026 bersamaan 05 Muharam 1448H, bermula jam 8.30 pagi.
Program ini merupakan salah satu inisiatif bagi memperkukuhkan semangat kebersamaan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan, keindahan dan kelestarian kawasan persekitaran khususnya di kawasan tumpuan pelancongan Tok Bali.
Pelaksanaan program ini turut menyokong aspirasi “Pasir Puteh Bersih, Indah, Ceria dan Sejahtera” melalui penglibatan pelbagai pihak dalam memastikan kawasan awam sentiasa berada dalam keadaan bersih, selesa dan kondusif untuk komuniti serta para pengunjung.
Program gotong-royong ini melibatkan penyertaan Ahli-ahli Majlis, semua kakitangan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) serta wakil daripada pelbagai agensi dan pihak berkepentingan seperti Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh, Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (Kompleks JKKN Kelantan), Pejabat Daerah Pertahanan Awam Pasir Puteh serta Syarikat Nasrom Sdn. Bhd.
Sepanjang program berlangsung, para peserta berganding bahu menjalankan aktiviti pembersihan kawasan sekitar termasuk pengumpulan sampah, pembersihan kawasan awam dan kerja-kerja menceriakan persekitaran Jeti Pelancongan Tok Bali.
Kerjasama erat antara agensi kerajaan, pihak swasta dan warga kerja MDPP ini membuktikan komitmen bersama dalam mewujudkan persekitaran yang bersih dan selamat serta memupuk budaya prihatin terhadap kebersihan dalam kalangan masyarakat.
Majlis Daerah Pasir Puteh merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas sokongan serta komitmen yang diberikan dalam menjayakan program ini. Semoga usaha berterusan seperti ini dapat memperkukuhkan imej Pasir Puteh sebagai daerah yang bersih, indah, ceria dan sejahtera.