Skip to main content

PERHIMPUNAN BULANAN KAKITANGAN MDPP BAGI BULAN MAC 2026 DAN MAJLIS BERBUKA PUASA

    PERHIMPUNAN BULANAN KAKITANGAN MDPP BAGI BULAN MAC 2026 DAN MAJLIS BERBUKA PUASA
    Pasir Puteh, 9 Mac 2026 – Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) telah mengadakan Perhimpunan Bulanan Kakitangan bagi Bulan Mac 2026 yang disusuli dengan Majlis Berbuka Puasa pada Isnin, 9 Mac 2026 bersamaan 19 Ramadan 1447H bertempat di Dewan Utama, Majlis Daerah Pasir Puteh bermula jam 5.30 petang.
    Program ini melibatkan penyertaan semua kakitangan Majlis Daerah Pasir Puteh sebagai satu platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan warga kerja MDPP, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
    Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan Lagu Selamat Sultan, diikuti dengan lafaz Ikrar Rukun Negara serta bacaan doa selamat bagi memohon keberkatan dan kesejahteraan kepada semua warga MDPP dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.
    Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan aluan oleh YABrs. En. Zulkarnean bin Isa, Setiausaha MDPP yang menzahirkan penghargaan kepada semua kakitangan atas komitmen dan dedikasi dalam melaksanakan amanah yang diberikan.
    Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan oleh YABrs. En. Mohd Kamarulzaman bin Ab Wahab, Yang Dipertua MDPP yang turut menekankan kepentingan kerjasama, integriti dan semangat berpasukan dalam memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada masyarakat setempat.
    Turut diadakan dalam majlis tersebut ialah penyampaian hadiah sempena sambutan hari lahir bagi kakitangan yang lahir pada bulan Mac sebagai tanda penghargaan dan meraikan warga kerja MDPP. Selain itu, pengisian rohani melalui Kuliah UMI yang disampaikan oleh YBrs. Al-fadhil Ustaz Nazeri bin Mustapha turut disampaikan bagi memberi peringatan dan penghayatan tentang kepentingan memanfaatkan bulan Ramadan dengan amalan yang baik.
    Majlis kemudian diteruskan dengan persiapan berbuka puasa, diikuti dengan majlis berbuka puasa bersama yang berlangsung dalam suasana penuh mesra dan harmoni. Program diakhiri dengan solat Maghrib berjemaah yang disertai oleh semua kakitangan.
    Penganjuran program ini diharapkan dapat memperkukuhkan ukhuwah serta memupuk nilai kebersamaan dalam kalangan warga kerja MDPP di samping menyemarakkan penghayatan Ramadan dalam kehidupan seharian.

    DASAR PRIVASI

    SEO - Laman Web Rasmi Majlis Daerah PASIR PUTEH

    Penerbitan
    Arkib Berita
    KELGOV PPST