Lawatan ke Tapak Bazar Ramadan bagi Perasmian Program Walkabout Ramadan Tahun 2026
Pasir Puteh, 4 Mac – Satu lawatan ke tapak Bazar Ramadan telah diadakan sempena perasmian Program Walkabout Ramadan Tahun 2026 pada 4 Mac 2026 (Rabu) bersamaan 14 Ramadan 1447H, jam 4.45 petang di Bazar Ramadan Pasir Puteh, Padang Astaka MDPP.
Program ini melibatkan kerjasama antara Pejabat Kesihatan Daerah Pasir Puteh bersama Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP). Turut hadir dalam program ini ialah Setiausaha MDPP, Ketua Jabatan Kesihatan Persekitaran serta wakil daripada Bahagian Pelesenan MDPP.
Lawatan ini bertujuan untuk memantau tahap kebersihan, keselamatan makanan serta pematuhan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan di kawasan bazar Ramadan. Melalui program walkabout ini, pihak berkuasa dapat memberi penerangan serta peringatan kepada para peniaga agar sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan, penyediaan makanan yang selamat dan pengurusan sisa yang teratur.
Selain itu, program ini juga memberi peluang kepada pihak terlibat untuk berinteraksi secara langsung dengan para peniaga serta mendapatkan maklum balas berkaitan operasi bazar sepanjang bulan Ramadan.
Diharapkan melalui pelaksanaan program ini, tahap kebersihan dan keselamatan makanan di Bazar Ramadan Pasir Puteh dapat terus dipertingkatkan bagi memastikan keselesaan serta kesejahteraan pengunjung yang hadir.