Skip to main content

MAJLIS DAERAH PASIR PUTEH MENYITA DUA KEDAI PENJAJA BUAH

    MAJLIS DAERAH PASIR PUTEH MENYITA DUA KEDAI PENJAJA BUAH
    13 Julai 2025Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) telah menjalankan satu Operasi Penguatkuasaan menyita dua kedai penjaja buah yang didapati menjalankan perniagaan secara tidak sah di dua lokasi berasingan di Jajahan Pasir Puteh.
    Operasi yang bermula jam 10.00 pagi dan berakhir pada 12.30 tengah hari ini melibatkan kekuatan seramai 26 anggota daripada Jabatan Penguatkuasaan (12), Jabatan Perlesenan (5) serta Unit Landskap (5) dan PDRM Pasir Puteh (7).
    Sitaan pertama melibatkan sebuah gerai buah-buahan di tepi Pasar Awam Selising. Penjaja ini sebelum ini telah dikenakan tindakan sita namun masih degil dan meneruskan perniagaan tanpa kebenaran. Sitaan kedua pula melibatkan kedai buah yang beroperasi berhampiran simpang Pejabat Kebajikan Masyarakat, yang telah menerima aduan daripada orang awam berhubung kesesakan lalu lintas yang sering berlaku akibat aktiviti perniagaan di lokasi berisiko itu.
    Menurut peraturan sedia ada, penjaja tidak dibenarkan berniaga dalam lingkungan 40 meter dari kawasan pasar awam serta dilarang berniaga di kawasan berhampiran simpang jalan kerana boleh mengganggu penglihatan pemandu dan membahayakan keselamatan.
    Pihak Majlis dalam kenyataan turut menegaskan bahawa pihaknya tidak menghalang orang awam untuk menjalankan perniagaan, namun perlu mematuhi undang-undang dan memilih lokasi yang telah ditetapkan demi keselamatan dan ketenteraman awam.
    Tindakan susulan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang kecil terus terpelihara.

    DASAR PRIVASI

    SEO - Laman Web Rasmi Majlis Daerah PASIR PUTEH

    Penerbitan
    Arkib Berita
    KELGOV PPST