Operasi Ops Pengemis di tapak Bazar Aidilfitri, Bandar Tok Janggut, Pasir Puteh
Operasi Bersama JKM Berjaya Kenal Pasti Peminta Sedekah di Bazar Aidilfitri Pasir Puteh
Pasir Puteh, 26 Mac 2025 – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Pasir Puteh bersama Anggota Penguatkuasa telah mengadakan Operasi Ops Pengemis di tapak Bazar Aidilfitri, Bandar Tok Janggut, Pasir Puteh pada malam 25 Ramadan 1446H. Operasi ini dijalankan bagi membanteras aktiviti pemintaan sedekah serta pematuhan peraturan oleh pengunjung dan peniaga.
Operasi yang berlangsung dari jam 9.00 malam hingga 12.00 malam ini melibatkan seramai 11 orang anggota penguatkuasa serta 6 anggota dari pihak JKM. Sepanjang operasi dijalankan, pasukan bertindak berjaya mengeluarkan dua notis berkaitan pelanggaran aurat serta mengenal pasti seorang individu yang terlibat dalam aktiviti meminta sedekah. Selain itu, tiga individu yang terlibat dalam aktiviti cosplay turut dikenalpasti dalam operasi ini.
Menurut jurucakap operasi, pihak berkuasa akan terus menjalankan pemantauan bagi memastikan keselesaan serta keselamatan pengunjung bazar selain memastikan tiada aktiviti yang menyalahi undang-undang. “Kami akan terus berkolaborasi dengan pelbagai agensi bagi membendung aktiviti yang tidak wajar terutamanya dalam tempoh perayaan,” katanya.
Orang ramai diseru untuk sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan serta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti yang mencurigakan. Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan suasana perayaan dapat dinikmati dalam keadaan yang selesa dan selamat.