Majlis Amanat Tahun Baru dan Perhimpunan Bulanan Kakitangan Majlis Daerah Pasir Puteh
Majlis Amanat Tahun Baru dan Perhimpunan Bulanan Kakitangan Majlis Daerah Pasir Puteh
Pasir Puteh, 7 Januari 2025 – Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) telah mengadakan program Majlis Amanat Tahun Baru dan Perhimpunan Bulanan Kakitangan yang berlangsung pada 7 Januari 2025 bertempat di Dewan Utama, MDPP. Program ini dihadiri oleh semua kakitangan MDPP dan turut disertai oleh YABrs. En. Mohd Roshdi bin Ismail, Tuan Yang Dipertua, serta YBrs. Tuan Setiausaha Majlis Daerah Pasir Puteh.
Dalam amanatnya, YABrs. Tuan Yang Dipertua menekankan kepentingan usaha berterusan dalam meningkatkan hasil dan kualiti perkhidmatan di Majlis Daerah Pasir Puteh. Beliau menyatakan bahawa semua kakitangan perlu memberi komitmen lebih untuk meningkatkan produktiviti dan efisiensi di setiap sektor bagi memastikan kemajuan organisasi.
Selain itu, YABrs. Tuan Yang Dipertua turut mengingatkan tentang pentingnya pengurusan kewangan yang lebih berhemah. Semua kakitangan diminta untuk mengamalkan penjimatan yang berterusan di semua aspek, dari segi penggunaan sumber dan perbelanjaan, untuk memastikan keseimbangan kewangan yang baik antara pendapatan dan perbelanjaan Majlis.
Program ini merupakan satu platform bagi memperkukuhkan semangat kerjasama dan komitmen semua kakitangan dalam mencapai visi dan misi MDPP pada tahun 2025. Semua pihak diharap dapat bergerak seiring untuk memastikan pencapaian yang lebih cemerlang demi kesejahteraan masyarakat di daerah Pasir Puteh.
Sumber: Majlis Daerah Pasir Puteh